Hadis Nabi

  • Ulama Pewaris Nabi

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

    “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” (Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِباَدِ، وَلَكِنْ بِقَبْضِ الْعُلَماَءِ. حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عاَلِماً اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوْساً جُهَّالاً فَسُأِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

    “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.” (HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)

Pesan Umar Abdul Aziz

"Jika engkau bisa, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak bisa menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Biografi Muhammad Al-Ghazali Al-Saqa

22:56

Muhammad al-Ghazali al-Saqa dilahirkan di kampung Nakla al-‘Inat di daerah Ayta al-Barud di negeri Bahira, Mesir pada 22 Sepetember 1917. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang kuat agama. Bapa beliau memberi nama Muhammad al-Ghazali sempena mengambil nama Abu Hamid al-Ghazali (m. 505H) kerana bapanya cenderung ke arah kesufian. Beliau merupakan anak sulung daripada 7 adik beradik.

 
Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya. Sejak kecil lagi beliau sudah menunjukkan ciri-ciri keilmuan yang unggul dengan kemampuan menghafal al-Qur’an ketika berumur 10 tahun. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kolej Agama Iskandariah, Mesir. Semasa memasuki sekolah peringkat rendah usianya baru menjangkau sebelas tahun iaitu pada tahun 1928. Beliau meneruskan pengajian ke Universiti al-Azhar pada tahun 1937 dan lulus dari Fakulti Usuluddin pada tahun 1941. Di Fakulti Usuluddin, beliau telah berguru dengan ulama-ulama besar al-Azhar, di antaranya ‘Abd ‘Azim al-Zarqani, Mahmud Shaltut, Muhammad Yusuf Musa (m. 1963M) dan Muhammad Ghallab. Pada tahun 1937, beliau telah berkecimpung dengan gerakan Ikhwan Muslimun pimpinan Hasan al-Banna, dengan menjadi ahli gerakan ini. Sejak dari itu, beliau telah bergiat cergas dalam dakwah dan banyak pemikiran, pengalaman dan didikan yang diambil dari Hasan al-Banna. Pada tahun 1943, beliau menerima ijazah Diploma Pendidikan pengkhususan Bahasa Arab dan Kesusasteraan dan ijazah Pengkhususan Dakwah daripada Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar.

Beliau merupakan anak didikan Hasan al-Banna dan ulama besar al-Azhar. Muhammmad al-Ghazali begitu terkesan dengan didikan dari Hasan al-Banna. Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna sebagai pendorong dan pembimbingnya dalam medan dakwah. Menurut Muhammad al-Ghazali, beliau pertama kali berjumpa dengan Hasan al-Banna ketika menjadi penuntut di Kolej Agama Iskandariah semasa berumur lebih kurang 20 tahun.

Antara kesan terhadap jiwanya itulah beliau telah mengarang kitab Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah li al-Muslimin yang menjelaskan Usul ‘Ishrin (Asas 20 Perkara) yang ditulis oleh Hasan al-Banna. Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna seorang pejuang yang ikhlas, mempunyai peribadi yang mulia dan pentafsir al-Qur’an yang baik. Beliau mempunyai kelebihan kerana dapat memahami uslub yang susah lalu disampaikan kepada orang ramai dengan uslub yang begitu menarik dan mudah difahami.

Menurut Yusuf al-Qaradawi bahawa Muhammad al-Ghazali dalam penjara Tur selalu meniupkan semangat perjuangan dengan mengatakan bahawa kematian Hasan al-Banna tidak bermakna pertentangan dengan musuh-musuh Allah dan umat Islam telah berakhir. Panji-panji Hasan al-Banna akan diteruskan oleh murid-muridnya dan dakwahnya tidak akan lenyap. Muhammad al-Ghazali juga terkesan dengan didikan ulama-ulama besar al-Azhar. Beliau mengakui terpengaruh dengan didikan ‘Abd al-‘Azim al-Zarqani r.h., guru tafsir dalam Fakulti Usuluddin. Di Kolej Agama Iskandariah, beliau terpengaruh dari gurunya yang bernama Ibrahim al-Gharbawi dan ‘Abd al-‘Azim Bilal, guru pendidikan psikologi. Beliau juga terpengaruh dengan Mahmud Shaltut, guru dalam bidang Tafsir, dan kemudian menjadi Shaykh al-Azhar. Begitulah tokoh-tokoh ulama yang mempengaruhi jiwa Muhammad al-Ghazali sehingga beliau tidak mengenal erti penat dan lelah, sanggup dipapah di serata dunia semata-mata untuk menyebarkan dakwah serta meninggikan kalimah Allah yang mulia. Muhammad al-Ghazali merupakan seorang penulis sejak beliau menuntut di Universiti al-Azhar dalam usia yang masih muda. Menurutnya, masa yang paling baik baginya menulis ialah selepas solat subuh. Muhammad al-Ghazali menjadi penulis dalam akhbar al-Muslimun, al-Nazir, Liwa’ al-Islami, Mimbar al-Islam, Majalah al-Azhar, dan lain-lain akhbar di Mesir. Di Arab Saudi, beliau menulis di akhbar al-Da‘wah, al-Tadaman al-Islami, dan Majalah Rabitah. Sementara di Qatar dalam majalah Ummah dan di Kuwayt dalam majalah al-Waei al-Islami. Banyak pemikiran yang diutarakan dalam tulisan-tulisannya sehingga beliau dikenali sebagai Adib al-Da‘wah.

Pada tahun-tahun terakhir sebelum meninggal dunia, beliau menjadi kolumnis tetap bagi surat khabar mingguan Sha‘ab di Mesir atas tajuk “Hadha Dinuna” dan akhbar al-Muslimin atas tajuk “al-Haq Murr”.

Muhammad al-Ghazali pernah bertugas di Kementerian Wakaf Mesir sebagai penasihat kepada Universiti al-Azhar, Pengarah Umum Masjid dan Pengarah Dakwah. Pada 21 Julai 1981, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Kementerian Wakaf, Bahagian Dakwah. Beliau juga pernah menjadi imam dan khatib di Masjid al-Azhar, Masjid Atabah al-Khadra’ dan Masjid Amru bin al-‘As. Dalam bidang akademik, Muhammad al-Ghazali pernah bertugas sebagai Profesor di Universiti Qatar dan mengetuai Lembaga Akademik Fakulti Pengajian Islam, Universiti Amir Abd al-Qadir di Algeria. Beliau juga pernah menjadi tenaga pengajar di Universiti Umm al-Qura, Mekah. Beliau juga pernah mengajar di Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin di Universiti al-Azhar.

Semasa hayatnya, Muhammad al-Ghazali pernah menerima anugerah Ijazah al-Malik Faysal dalam bidang Khidmat Islam pada tahun 1989, Anugerah Penulis pada tahun 1991, Anugerah Penghargaan Negara Mesir pada tahun 1992 dalam bidang Ilmu Kemasyarakatan. Anugerah Presiden bagi kesarjanaan yang cemerlang Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1995.

Beliau telah meninggal dunia di Riyadh pada 9 Mac, 1996 selepas diserang sakit jantung. Beliau telah dimakamkan di perkuburan al-Baqi‘, Madinah al-Munawarah berdekatan dengan makam anak Nabi Muhammad -Ibrahim dan Malik bin Anas iaitu lebih kurang 15 meter dari masjid al-Nabawi. Jenazahnya telah disembahyangkan oleh Huzayfi di Masjid al-Nabawi. Allah telah memuliakannya sehingga beliau dimakamkan berhampiran makam Nabi Muhammad s.a.w sehingga penggali kubur bertanya siapakah yang akan dikebumikan di tempat yang mulia ini yang begitu dekat dengan Masjid Rasulullah s.a.w lalu mereka memberitahu orangnya ialah Muhammad al-Ghazali.

Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai seorang pendakwah yang ulung, yang keseluruhan hidup dan waktunya berkhidmat untuk Islam, mempunyai ketegasan dan pendirian yang tetap. Sayyid Ahmad Abd al-Hadi al-Qasibi, ketua Tariqat Sufi menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai seorang yang mempunyai pemikiran bernas, perkataan yang lembut, kefahaman yang mendalam bagi maqasid agama dan pandangan yang ideal dalam kebangkitan umat. Beliau meninggal dunia dalam keadaan berjuang pada jalan Allah dan menjadi contoh teladan buat generasi selepasnya. Mahmud Hamdi Zaqzuq, Menteri Wakaf Mesir menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai contoh bagi setiap para pendakwah untuk mengikuti perjalanan dan metodologi dakwahnya. Kematiannya merupakan kehilangan yang besar dalam medan dakwah di Mesir dan dunia Islam keseluruhannya.

Muhammad ‘Imarah seorang pemikir Islam dari Mesir menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai tokoh ulama mujaddid dalam pemikiran Islam pada masa kini, terdapat dalam diri dan pemikirannya metodologi pengetahuan Islam yang menggabungkan nas dan akal di samping ilmu-ilmu semasa. ‘Umar Hashim, Rektor Universiti al-Azhar menyifatkan al-Ghazali sebagai seorang mujaddid yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam pemikiran dan ijtihadnya. Beliau meminta generasi muda kini mencontohi manhajnya dalam kehidupan mereka.

Buku-Buku dan Ciri-Ciri Penulisan Muhammad al-Ghazali

1. Al-Islam wa al-Awda‘ al-Iqtisadiyyah
(Islam dan Kedudukan Ekonomi), Dar al-Rayan li Turath, al-Qahirah, Cet. Kelapan, 1987.

2. Al-Islam wa al-Manhaj al-Istirakiyyah
(Islam dan Metodologi Sosialis), Dar al-Kitab al-Hadithah, al-Qahirah, t.t.

3. Islam wa Istibdad al-Siyasi
(Islam dan Politik Diktator), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1984.

4. Islam Muftara ‘alayh bayn Shuyu‘in wa al-Rasumaliyyin
(Salah Faham Terhadap Islam : Antara Tentangan Komunis dan Kapitalis), Dar al-Kitab al-Islamiyyah, al-Qahirah, t.t.

5. Min Huna Na‘lam
(Dari Sini Kita Memahami), Nahdah Misr, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1997.

6. Ta’amulat fi Din wa ‘l-Hayat
(Penghayatan Pada Agama dan Kehidupan), Dar al-Da‘wah, Iskandariah, 1992.

7. Khuluq al-Muslim
(Peribadi Orang Islam), Dar al-Rayan, al-Qahirah, 1980

8. ‘Aqidah al-Muslim
(Akidah Muslim),Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, 1980.

9. Al-Ta‘asub wa al-Tasamuh
(Ekstremisme dan Toleransi), Dar al-Tawjiz wa al-Nashar al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1993.

10. Fi Mawkib al-Da‘wah
(Dalam Perjalanan Dakwah), Dar al-Kitab al-‘Arabi, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1957

11. Zalam Min al-Gharb
(Kegelapan dari Barat), Dar al-‘Itisam, al-Qahirah, t.t.

12. Sayhat al-Tahzir Min Du‘at al-Tansir.
( Pengumuman Peringatan dari Pendakwah Kristian ), Dar al-Sahwah, al-Qahirah, 1991.

13. Jaddid Hayatak
(Perbaharui Kehidupanmu), Dar al-Da‘wah, Iskandariah, 1989.

14. Laysa Mina ‘l-Islam
(Bukan Dari Islam), Maktabah Wahbah, al-Qahirah, Cet. Keenam, 1991.

15. Min Ma‘alim al-Haq
Daripada Pengajaran-Pengajaran Kebenaran), Dar al-Kutub al-Hadithah, al-Qahirah, Cet. Keiga, 1963.

16. Kayfa Nafham al-Islam
(Bagaimana Memahami Islam), Dar al-Da‘wah, Iskandariah, 1991

17. al-Isti‘mar Ahqad wa Atma‘
(Penjajahan : Dendam dan Ketamakan), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1985.

18. Nazarat fi al-Qur’an
(Kajian Pada al-Quran), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Keenam, 1986.

19. Ma‘a ‘l-Allah : Dirasat fi al-Da‘wah wa al-Du‘at
(Bersama Allah : Suatu Kajian Tentang Dakwah dan Pendakwah), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Keenam, 1985.


20. Ma‘rakat al-Mashaf
(Pertempuran Mashaf), Dar al-Kutub al-Hadithah, al-Qahirah,Cet. Kedua, 1964.

21. Fiqh al-Sirah
(Kefahaman Kehidupan Rasul),Dar al-Rayan, al-Qahirah, 1987.

22. Kifah al-Din
(Panji-Panji Agama),Maktabah Wahbah, al-Qahirah, Cet. Kelima, 1991.

23. Dustur al-Wahdah al-Thaqafah bayn al-Muslimin
(Perlembagaan Kesatuan Kebudayaan Umat Islam), Dar al-Wafa, al-Qahirah, 1988

24. Al-Islam wa al-Taqat al-Mu‘attalah
(Islam Dan Tenaga-Tenaga yang Terabai), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Keempat, 1983.

25. Huquq al-Insan bayn Ta‘lim al-Islam wa ‘Ilan al-Muttahidah
(Hak-hak Kemanusiaan Antara Ajaran Islam dan Resolusi Bangsa-bangsa Bersatu), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1984.

26. Hadha Dinuna
(Ini Agama Kita),Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1975.

27. Haqiqat al-Qawmiyyah al-‘Arabiyyah
(Hakikat Nasionalisme Arab), Dar al-Bayan, Kuwayt, 1969.

28. Al-Janib al-‘Atif Mina ‘l-Islam
Demensi Perasaan dari Islam), Dar al-Da‘wah, Iskandariah, 1990.

29. Difa‘ ‘ann al-‘Aqidah wa al-Shari‘ah
(Mempertahankan Akidah Dan Syariat), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, t.t.

30. Raka’iz al-Iman bayn al- ‘Aql wa al-Qalb
(Intipati Iman Antara Akal Dan Hati), Maktabah Wahbah, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1994.

31. Husad al-Gharur
(Menyekat Bangga Diri), Dar al-Thaqafah, Qatar, Cet. Ketiga, 1985.

32. Al-Islam fi Wajh Zahf al-Ahmar
(Islam Menghadapi Bendera Merah), Dar al-Rayan, al-Qahirah, Cet. Kesembilan, 1987.

33. Qaza’if al-Haq
(Pemalsu-Pemalsu Kebenaran), Maktabah al-Asriah, Bayrut, t.t.

34. Al-Da‘wah al-Islamiyyah Tastaqbal al-Qarni al-Khamis ‘Ashar
(Dakwah Islam Dalam Menghadapi Era Abad ke-15), Maktabah Wahbah, al-Qahirah, Cet.Ketiga, 1990.

35. Fann al-Zikr wa al-Du‘a ‘inda Khatam al-Anbiya’
(Seni Zikir dan Doa Pada Nabi Terakhir), Maktabah al-Asriah, Bayrut, Cet. Kedua, 1980.

36. Waqi‘ al-‘Alam al-Islam fi Mutali‘u al-Qarn al-Khamis ‘Ashar
(Realiti Dunia Islam Menjelang Abad ke-15), Dar Thabit, al-Qahirah, 1995.

37. Muskilat fi Tariq al-Hayat al-Islamiyyah
(Permasalahan dalam Perjalanan Kehidupan Islam), Nahdah Misr, al-Qahirah, 1995.

38. Mi’ah So’al fi al-Islam
(Seratus Soalan Mengenai Islam), Dar al-Thabit, al-Qahirah, 1984.

39. ‘Ilal wa ‘Adawiyyah
(Penyakit Dan Pengubat), Dar al-Da ‘wah, Iskandariah, 1991.

40. Al-Mustaqbal al-Islam Kharij Ardih wa Kayfa Nufakkir Fih.
(Masa Depan Islam di Luar Tanahairnya dan Bagaimana Kita Memikirnya), Muassasah al-Sharqi, Amman, 1984.

41. Qisas al-Hayat
(Kisah Hidup), Islamiyyat al-Ma‘rifat, IIIT, Kuala Lumpur, 1997.

42. Sir Ta’akhar al-Arab wa al-Muslimin
(Rahsia Kemunduran Arab dan Muslimin), Nahdah Misr, al-Qahirah, 1996

43. Tariq Min Huna
(Perjalanan dari Sini), Dar al-Shuruq, al-Qahirah, 1992.

44. Jihad al-Da‘wah bayn ‘Ajz al-Dakhil wa Kayda al-Kharij
(Perjuangan Dakwah antara Kelemahan Dalaman dan Tipudaya Luar), Dar al-Sahwah, al-Qahirah, t.t.

45. Al-Haq Mur
(Kebenaran itu Pahit), Markaz al-‘Ilam al-‘Arabi, al-Qahirah, 1993

46. Humum al-Da ‘iyah
(Kelembapan Pendakwah) Dar al-Bashir, al-Qahirah, t.t.

47. Al-Ghazwi al-Thaqafi
(Peperangan Kebudayaan), Dar al-Shuruq, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1985.

48. Al-Muhawar al-Khamsah li al-Qur’an
(Lima Teras Perbicaraan Dalam al-Quran), Dar al-Sahwah, al-Qahirah, Cet. Keempat, 1994.

49. Al-Sunnah al-Nabawiyyah bayn ahl al-Fiqh wa ahl al-Hadith
(Sunnah Nabi : Antara ahli Feqah dan ahli Hadith), Dar al-Shuruq, al-qahirah, Cet. Kesepuluh, 1992.

50. Qadaya al-Mar’ah bayn Taqalid al-Rakidah wa al-Wafidah
(Persoalan Wanita ; Antara Tradisi Beku dan Asing), Dar al-Shuruq, al-Qahirah, Cet. Kelima, 1994.

51. Turathuna al-Fikr fi Mizan Shara‘ wa al-‘Aql
(Warisan Pemikiran Islam Menurut Syarak dan Rasional), Dar al-Shuruq, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1991.

52. Kayfa Nata‘amal Ma‘a al-Qur’an
(Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan al-Quran), IIIT, USA, 1992.

53. Nahw al-Tafsir al-Mawdu‘iyy
(Menuju Tafsir Bertema), Dar al-Shuruq, al-Qahirah, 1992.


Tahqiq (penyunting) :

1. Kitab Sayd al-Khatir oleh Ibn Jawzi

2. Zamm al-Hawa oleh Ibn Jawzi


Muhammad al-Ghazali begitu gigih dan berani dalam mengatakan kebenaran. Sejak dari tahun 1948, beliau telah mengarang buku dalam bidang pemikiran. Bukunya yang pertama iaitu al-Islam wa al-Awda‘ al-Iqtisadiyyah (Islam dan Kedudukan Ekonomi) yang membahaskan mengenai kedudukan ekonomi yang sebenar dari sudut pandangan Islam. Tulisan-tulisannya memberi semangat baru kepada kebangkitan umat Islam. Dalam menentang penyelewengan harta dan kezaliman masyarakat, beliau telah mengarang buku:-

1. Islam wa al-Awda‘ al-Iqtisadiyyah. (Islam dan Kedudukan Ekonomi)
2. al-Islam wa al-Manhaj Istirakiyyah (Islam dan Manhaj Sosialis)
3. Al-Islam al-Muftara ‘alayh bayn al-Shuyu‘in wa al-Rasumaliyyin (Salah Faham Terhadap Islam : Antara Tentangan Golongan Komunis dan Kapitalis)
4. Al-Islam fi Wajh al-Zahf al-Ahmar (Islam dalam Memerangi Bendera Merah)

Dalam bidang penyelewengan politik, yang mengharamkan syura dan mengamalkan diktator, beliau mengutarakan pandangan di dalam buku-buku yang ditulisnya seperti :-

1. Islam wa Istibdad al-Siyasi (Islam dan Politik Diktator)
2. Huquq al-Insan bayn Ta‘lim al-Islam wa ‘Ilan al-Umam al-Muttahidah (Hak-hak Kemanusiaan antara Ajaran Islam dan Resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu)

Dalam bidang ketamadunan, beliau mengarang buku bagi menjawab tuduhan-tuduhan golongan Barat terhadap Islam. Buku yang berjudul Min Huna Nabda’ bagi menjawab persoalan yang mengatakan istana untuk istana, Allah untuk Allah dalam buku karangan Khalid Muhammad Khalid yang berjudul Min Huna Na‘lam. Beliau juga menulis buku yang menerangkan sosialisme iaitu Haqiqat al-Qawmiyyah al-‘Arabiyyah (Hakikat Nasionalisme Arab) bagi menjawab pandangan Barat terhadap nasionalisme. Antara buku-bukunya yang membicarakan perkara pertembungan tamadun ini seperti Mustaqbal al-Islam Kharij al-Ardih wa Kayfa Nufakkir fih (Masa Depan Islam di luar Tanahairnya dan Bagaimana Kita Berfikir Untuknya).

Dalam membentuk masyarakat Islam dan pengislahannya, beliau telah mengarang Khuluq al-Muslim (Akhlak Peribadi Muslim). al-Ta‘asub wa al-Tasamuh (Ekstrmisme dan Toleransi), Fiqh al-Sirah (Kefahaman Sejarah Rasul), Hadha Dinuna (Inilah Agama Kita), Kayfa Nafham al-Islam (Bagaimana Memahami Islam), Nazarat fi al-Qur’an (Kajian-kajian Dalam al-Quran), Islam wa al-Taqat al-Mu‘attalah (Islam dan Tenaga Yang Sia-sia), Sir Ta’akhar al-‘Arab wa al-Muslimin (Rahsia Kemunduran Arab dan Muslimin). Jaddid Hayatak (Perbaharui Kehidupanmu), Laysa Mina ‘l-Islam (Bukan Daripada Islam), Ma‘a ‘l-Allah (Bersama Allah), dan lain-lain.

Muhammad al-Ghazali telah meninggalkan khazanah ilmu yang amat bernilai untuk generasi kini menerokainya. Beliau telah menghasilkan lebih dari 60 buah kitab dalam bidang kajian pemikiran Islam dan dakwah Islamiah. Seorang wartawan pernah bertanya kepada beliau mengenai sumbangannya dalam medan dakwah melalui buku-bukunya lalu beliau menjawab dengan penuh rendah diri bahawa tidak berpuashati apa yang telah beliau sumbangkan kepada dunia ilmu Islam. Beliau bercita-cita jikalau umur ini boleh kembali semula, beliau akan berkhidmat untuk Islam lebih dari apa yang ada sekarang.

Sumber Pemikiran Muhammad al-Ghazali dan Usul ‘Ashrin.

Muhammad al-Ghazali dalam mengutarakan pandangannya mengambil sumber asasi sebagai titik-tolak dalam karyanya. Sumber-sumber itu ialah:

a) Al-Qur’an : Al-Qur’an merupakan sumber utama dalam beliau menyampaikan dakwah. Al-Qur’an yang menjadi bacaan hariannya, pagi dan petang sehingga beliau mempunyai buku yang khusus mengenai al-Qur’an. Antaranya Nahw Tafsir al-Mawdu‘iyy

b) Al-Sunnah : Al-Sunnah merupakan sumber kedua selepas al-Qur’an. Beliau sentiasa mengambil hujah-hujah serta dalil-dalil daripada al-Sunnah dalam menerangkan makna al-Qur’an. Beliau juga sentiasa mempertahankan Sunnah daripada tangan-tangan yang ingin mencemar kedudukan Sunnah di sisi Islam.

c) Kisah-Kisah Sejarah : Sejarah ketamadunan manusia khusus sejarah tamadun Islam dan sejarah perjuangan Rasulullah sentiasa menjadi rujukannya. Muhammad al-Ghazali seorang peminat buku-buku sejarah khususnya sejarah Islam. Menurutnya, dari sejarah kita dapat mengetahui rahsia kemenangan umat Islam silam.


d) Ilmu-Ilmu Agama dan Sains Kemanusiaan : Pembudayaan ilmu yang meliputi segala bidang, sama ada pengetahuan agama, kemasyarakatan, politik, ekonomi dan antarabangsa. Muhammad al-Ghazali merupakan graduan daripada Fakulti Usuluddin, iaitu fakulti yang mengajar pelbagai ilmu seperti Tafsir, Hadith, Falsafah, Akidah, Mantiq, Psikologi, Usul Fiqh, Sejarah, dan Tasawwuf. Oleh itu terdapat dalam dirinya ilmu-ilmu tersebut sebagai bekalannya dalam medan dakwah. Tambahan pula, beliau adalah graduan yang khusus dalam pengajian dakwah.

e) Realiti dan Prioriti : Muhammad al-Ghazali sentiasa melihat realiti dan prioriti (keutamaan) dalam menyampaikan dakwah sama ada realiti umat Islam setempat (Mesir), Realiti Serantau (dunia Arab), Realiti Dunia Islam dan Realiti Antarabangsa (Dunia Luar Islam).

Beliau menggabungkan kelima-lima unsur tersebut dalam menyampaikan dakwah sehingga dapat membentuk pemikiran yang bernas dalam menyelesaikan permasalahan ummah kini dengan pendekatan yang begitu mudah. Kelima-lima unsur ini terpancar dari nilai-nilai asas syariah Islam. Beliau juga melihat Fiqh al-Awlawiyyat dalam menyelesaikan tugas dakwahnya.

Muhammad al-Ghazali merupakan pemikir Islam yang membawa pembaharuan dalam dunia Islam. Beliau merupakan anak didik Hassan al-Banna , Mursyid Ikhwan Muslimin dan banyak mewarisi pemikiran Hassan al-Banna yang inginkan pembaharuan dalam dunia Islam. Antara ulama yang tergolong dalam Madrasah Fikriyyah (Institusi Aliran Pemikiran) ialah Rashid Rida (m.1935M), dan Muhammad ‘Abduh. Muhammad al-Ghazali telah menulis al-Muqarar al-‘Ashir tambahan kepada perkara yang ditulis oleh gurunya Hassan al-Banna dalam Ta‘alim al-‘Ishrun al-Muqarar al-‘Ashir. Ia membahaskan mengenai aspek-aspek kemasyarakatan, politik dan hubungan antarabangsa.

Beliau mengatakan bahawa 10 perkara ini amat diperlukan oleh masyarakat Islam pada hari ini sebagai tambahan kepada Ta‘alim al- ‘Ishrun yang dikarang oleh Hassan al-Banna. Perkara-perkara itu adalah seperti berikut :

1. Wanita adalah gandingan lelaki. Menuntut ilmu adalah suatu tuntutan yang meliputi kedua-dua jantina, demikian juga gesaan ke arah melakukan kebaikan dan larangan dari melakukan perkara mungkar meliputi lelaki dan wanita. Wanita juga dalam batas kesopanan Islam - mempunyai hak untuk menyertai pembangunan masyarakat dan melindunginya.

2. Keluarga adalah asas survival akhlak dan sosial bagi ummah, ia merupakan pendukung tabie bagi generasi yang muncul. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab bersama untuk mewujudkan suasana yang baik antara mereka berdua. Lelaki adalah ketua keluarga, tanggungjawabnya jelas seperti yang disyariatkan oleh Allah ke atas setiap individunya.

3. Manusia mempunyai hak material dan moral selaras dengan kemuliaan yang diberikan Allah kepadanya serta kedudukannya yang tinggi di muka bumi ini. Agama Islam telah menjelaskan hak- hak tersebut dan menggesa supaya hak-hak itu dihormati.

4. Pemerintah- sama ada raja atau ketua negara - adalah petugas bagi rakyat dengan memelihara kepentingan agama dan keduniaan mereka. Kewujudan pemerintah berdasarkan pemeliharaan yang ditentukan itu serta berdasarkan kerelaan sebahagian besar rakyat memilihnya atau mentadbirkan mereka secara kuku besi.

5. Asas pemerintahan adalah syura, setiap bangsa berhak memilih cara melaksanakannya. Namun cara yang paling mulia ialah cara yang membawa keredaan Allah serta mengelakkan dari riya’, mengumpul harta, penipuan serta cintakan keduniaan.

6. Hak milik perseorangan adalah terjamin seperti diakui oleh syariat Islam. Ummah adalah asas yang satu dan tidak diabaikan suatu anggota pun daripadanya. Persaudaraan umum merupakan hukum yang menaungi setiap individu dalam jamaah dan urusan kebendaan dan moral tunduk kepadanya.

7. Keluarga negara-negara Islam bertanggungjawab mengenai dakwah Islamiah dan mencegah pendustaan ke atasnya, serta melindungi penganutnya daripada sebarang penganiayaan di mana sahaja mereka berada. Negara-negara Islam juga mesti berusaha untuk menegakkan pemerintahan khalifah dalam bentuk yang sesuai dengan kedudukan agama.

8. Perbezaan agama bukan menjadi punca perbalahan dan permusuhan, sebaliknya peperangan meletus apabila berlaku pencerobohan atau berlaku fitnah atau sekumpulan manusia dianiaya.

9. Hubungan orang-orang Islam dengan keluarga antarabangsa adalah berdasarkan piagam persaudaraan kemanusiaan yang murni. Orang- orang Islam melakukan dakwah berasaskan hujah dan kerelaan semata-mata dan tidak memendam kejahatan terhadap manusia lain.

10. Orang-orang Islam bersama lain-lain bangsa - tidak kira agama dan pegangannya- memberi sumbangan ke arah peningkatan manusia, sama ada dari segi kebendaan dan moral, iaitu bertolak dari kemurniaan Islam serta nilai-nilai yang diwarisi daripada nabi Muhammad s.a.w.

Inilah sepuluh perkara yang telah dicadangkan oleh Muhammad al-Ghazali sebagai panduan ke arah pembaharuan Islam.


Muhammad al-Ghazali merupakan seorang pemikir Islam abad ini. Idea-ideanya bukan sahaja di dunia Arab sahaja tetapi juga untuk dunia Islam keseluruhannya. Antara tema-tema besar pemikirannya untuk membina tamadun Islam ialah :

i) Kembali Kepada Pemikiran al-Qur’an Yang Syumul

Muhammad al-Ghazali menekankan pentingnya umat Islam memiliki pemikiran al-Qur’an yang syumul. Al-Qur’an hendaklah dibaca dengan penuh penelitian supaya menghasilkan pemikiran yang terbaik dalam usaha memakmurkan bumi ini. Beliau mengkritik keras sikap umat Islam yang lalai memahami dan tidak mengambil pemikiran yang syumul dari al-Qur’an. Beliau menegaskan masih banyak umat Islam menghadapi al-Qur’an secara buta tuli. Sebenarnya, umat lain menyedari keadaan kaum muslimin terhadap al-Qur’an. Oleh itu, kita dapati beberapa siaran radio antarabangsa memperuntukan waktu untuk menyiarkan program harian untuk bacaan al-Qur’an. Mereka berbuat demikian kerana mereka yakin umat Islam hari ini hanya mampu mendengar tetapi tidak memahaminya.


Menurut Muhammad al-Ghazali isu-isu yang diutarakan dalam al-Qur’an adalah isu-isu ilmiah yang praktis. Al-Qur’an membentuk peribadi, jiwa, akhlak, umat dan tamadun. Muhammad al-Ghazali membawa bukti sejarah iaitu bangsa Arab yang dahulu hidup dalam keadaan jahiliah akhirnya apabila diturunkan al-Qur’an telah merubah segala-galanya. Mereka bertukar menjadi umat yang cintakan syura, bencikan autokrasi, mengamalkan keadilan dan menghapuskan diskriminasi kelas.

Muhammad al-Ghazali juga menerangkan intisari pemikiran al-Qur’an itu adalah seperti kata Rabi‘iy bin ‘Amir ketika berdepan dengan tentera Parsi,“Kami datang untuk menghapuskan perhambaan manusia sesama manusia kepada beribadat kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dari angkara agama-agama kepada keadilan Islam.” Ungkapan ini menunjukkan kesyumulan pemikiran al-Qur’an dalam membina tamadun manusia yang memelihara hak-hak manusia sejagat. Beliau juga menerangkan pendekatan yang perlu bagi mendapatkan pemikiran yang ilmiah iaitu menjauhkan sikap mengada-ada ketika berinteraksi dengan al-Qur’an. Menurutnya, Islam memiliki sifat fitrah yang mudah. Agama Islam adalah agama fitrah. Sedangkan kekufuran adalah penyelewengan daripada fitrah. Allah telah menyebutkan bahawa hakikat-hakikat agama terang dan nyata serta terserlah dengan memerhati dan merenungkan tanda-tanda Allah yang bertebaran pada segenap penjuru dan diri manusia.

Daripada pengkajian mengenai al-Qur’an ini juga akan menghasilkan ilmu psikologi yang baik sebagai alternatif kepada manusia. Beliau menegaskan bahawa seandainya kita mengikuti dengan penuh teliti disiplin ilmu-ilmu al-Qur’an dan kita cuba merenungi tanda-tanda kekuasaan Allah yang ada pada diri kita, nescaya kita akan mempunyai ilmu psikologi yang mengenali kebesaran Allah.

Muhammad al-Ghazali berpendapat bahawa kebangkitan Islam bermula daripada penghayatan al-Qur’an yang syumul. Cetusan Islam yang digerakkan oleh al-Qur’an. Fahaman penghayatan al-Qur’an yang syumul ini telah menjadi penggerak kepada generasi awal Islam. Beliau berpendapat bahawa cetusan al-Qur’an sebagai pencetus tamadun telah hilang disebabkan kita sibuk dengan urusan yang lain.


Penyeruan al-Qur’an sebagai penggerak kepada tamadun ini banyak diutarakan oleh golongan madrasah al-Manar seperti Muhammad ‘Abduh, Rashid Rida dan Hasan al-Banna. Rashid Rida menyebutkan bahawa revolusi yang akan membebaskan akal insani, perhambaan dan kezaliman hanya boleh dilakukan melalui prinsip al-Qur’an.

ii) Membebaskan Wanita Daripada Belenggu Taqlid

Islam telah menggariskan kedudukan wanita bersesuaian dengan fitrah naluri mereka. Islam memerangi golongan yang menganggap wanita sebagai punca malapetaka. Islam mengatakan bahawa kejadian lelaki dan wanita adalah sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dan segala amalan akan dikira sama di sisi Allah kelak. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Sesungguhnya wanita itu adalah gandingan bagi kaum lelaki.” Menurutnya, kaum Muslimin pada masa lampau menzalimi wanita dan menyekat kebebasan mereka, banyak ibubapa yang menzalimi anak-anaknya dengan mengahwinkan tanpa izinnya, dan tidak memberikan haknya dalam harta pesaka, suami-suami menzalimi isteri mereka dengan mengharamkan mereka untuk pergi ke masjid malahan tidak membenarkan mereka menziarahi ibubapa mereka. Mereka menganggap wanita sebagai alat perhiasan sahaja yang berkhidmat untuk memuaskan nafsu lelaki semata-mata. Perkara-perkara ini yang diperangi oleh Muhammad al-Ghazali dalam kebanyakan bukunya. Muhammad al-Ghazali ingin membebaskan wanita Muslim daripada belenggu taqlid iaitu :

a) Taqlid yang diwarisi dari zaman kejatuhan Islam iaitu mengharamkan wanita mempelajari ilmu.
b) Taqlid yang diwarisi dari unsur-unsur luaran bersama dengan pemikiran dan budaya asing yang menyimpang daripada cahaya al-Qur’an dan al-sunnah.

Beliau berpendapat hak talak untuk lelaki bersamaan hak khuluk untuk wanita. Beliau menyatakan perkara ini berdalilkan ayat al-Qur’an dalam surah al-Baqarah 229. Muhammad al-Ghazali menyokong pendapat bahawa pampasan (diat) yang dibayar seorang lelaki atau wanita yang dibunuh adalah sama kadarnya. Beliau berhujahkan bahawa diat yang disebut dalam al-Qur’an adalah sama bagi lelaki dan perempuan dan untuk mengelakkan tuduhan kononnya Islam memandang hina terhadap wanita.

Sementara hadith yang menyebutkan diat perempuan setengah dari diat lelaki merupakan hadith yang tidak sahih dan isnadnya tidak thabit. Malahan tidak terdapat dalam Sahihayn. Perkara ini telah dikupas oleh banyak ulama sebelum Muhammad al-Ghazali seperti Muhammad Abu Zahrah, Mahmud Shaltut, ‘Azz al-Din al-Baliq dan ‘Abd al-Halim ‘Awais.

iii) Memperbetulkan Kefahaman Agama

Aspek terpenting yang yang selalu disuarakan oleh Muhammad al-Ghazali iaitu memperbetulkan salah faham terhadap agama Islam sama ada dari orang Islam mahupun orang bukan Islam. Beliau juga menjelaskan konsep keutamaan dalam konteks kehidupan manusia. Orang Islam perlu memahami Islam secara syumul supaya tidak berlaku perselisihan faham yang akan melemahkan umat Islam. Beliau menggesa umat Islam supaya memahami tasawwuf secara betul. Tasawwuf itu ialah suatu ilmu yang banyak memelihara dan memupuk unsur-unsur keislaman yang murni tetapi yang menyedihkan sekarang ilmu tasawwuf ini telah diresapi oleh anasir-anasir yang mungkar dan pemikiran-pemikiran asing yang bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara inilah yang menjadi sebab bagi kelumpuhan yang menimpa pemikiran umat Islam dalam berbagai-bagai bidang kehidupan. Beliau juga memperjelaskan perlunya orang-orang Muslim berinteraksi dengan tasawwuf dan fiqh secara betul supaya memberi kesan kepada jiwa dan peningkatan sahsiah. Beliau menyebutkan bahawa para fuqaha sibuk dengan muamalat dan ibadat-ibadat yang zahir, manakala ahli pendidik (ahli tasawwuf ) sibuk dengan akhlak dan tarbiyyah. Pada hal banyak dari kalangan mereka (ahli fiqh) ketandusan kerohanian dan semangat. Sementara itu, banyak pula yang ketandusan ilmu untuk dijadikan pegangan dan undang-undang. (iaitu dari kalangan ahli tasawwuf ) Natijahnya timbul kegoncangan dan kemelut dalam pemikiran Islam. Hal ini disebabkan kerana terpisahnya fiqh daripada tasawwuf atau terpisahnya tasawwuf daripada fiqh telah merosakkan umat sehingga terdapat orang-orang yang suka beribadat dan melakukan bid‘ah, tidak memiliki kesedaran dan ilmu pengetahuan. Manakala mereka yang sibuk dengan pelbagai rupa ibadat dan fiqh, tidak memiliki kerohanian dan kekhusyukan. Perkara ini menimbulkan kepincangan dalam masyarakat Islam yang perlu diperbetulkan.


iv) Konsep Ijtihad

Muhammad al-Ghazali menjelaskan konsep ijtihad yang diperlukan pada masa sekarang. Menurutnya, ijtihad amat penting terutama dalam bentuk kolektif. Walaupun begitu, beliau sentiasa menyebutkan bahawa ijtihad dalam bidang-bidang ibadat tidak perlu ditambah lagi. Cukup sekadar dengan apa yang umat Islam warisi selama ini. Ijtihad yang diperlukan sekarang ialah ijtihad dalam bidang hubungan antarabangsa, kemasyarakatan, pentadbiran dan lain-lain. Beliau berpendapat agar diperbanyakkan ijtihad dalam lingkungan wawasan Islam.

Muhammad al-Ghazali menegaskan perbezaan ijtihad antara para fuqaha tidak bererti memecahbelahkan umat. Ijtihad bukanlah sesuatu yang kudus dan menentangnya bukanlah dianggap satu dosa atau menentang syarak. Beliau membawa contoh imam-imam yang besar walaupun berbeza pendapat tetapi keharmonian terus wujud. Perbezaan pendapat dalam bidang fiqh tidak boleh dianggap memecahbelahkan agama. Beliau menegaskan bahawa tidak ada di kalangan orang Islam yang berfikiran waras menyatakan bahawa perbezaan pendapat di dalam fiqh itu sebagai perpecahan agama. Perbezaan pendapat dalam fiqh adalah perbezaan dalam memahami nas atau makna yang dimaksudkan iaitu perkara yang dimungkinkan oleh nas itu sendiri.

Beliau menentang keras golongan yang begitu ta‘asub dalam sesuatu mazhab dengan mengatakan mazhabnya yang paling betul. Beliau menyebut bahawa kini telah menular di kalangan sesetengah pelampau mazhab yang tidak mengenali mazhab lain. Mereka hanya melihat pendapat mazhabnya sahaja dan menidakkan mazhab lain, malah menganggapnya haram. Ini tidak benar. Penyakit ini telah menular di kalangan orang jahil dan pelampau yang merosakkan umat Islam.


Beliau menyebut bahawa kewajipan umat Islam menghidupkan warisan lama itu dan mempelajari menurut mazhab imam yang empat dan imam-imam yang setaraf dengan mereka dari para mujtahidin dan tokoh-tokoh yang datang kemudian dari mereka. Umat Islam hendaklah menghapuskan perasaan ta‘asub kepada mana-mana mazhab yang tertentu. Apa yang wajib dilakukan ialah memberi penilaian yang sewajarnya kepada mereka semua dan mengkaji pendapat-pendapat mereka agar umat Islam dapat mengambil manfaat sebanyak mungkin.

v) Kefahaman Sunnatullah

Muhammad al-Ghazali membahagikan hukum Ilahi (sunnatullah) kepada 5 bahagian. Menurutnya, perkara ini amat penting supaya tindakan yang diambil dalam pembinaan tamadun bersesuaian dengan prinsip al-Qur’an. Beliau membahagikan sunnah tersebut seperti berikut :

i) Sunnah al-Tadarruj (secara beransur-ansur)
ii) Sunnah al-Ajal ((tempoh masa yang tertentu)
iii) Sunnah Tadawul al-Hadari (peredaran tamadun)
iv) Sunnah al-Mudafa‘ah (pembelaan)
v) Sunnah al-Taskhir (penguasaan)
vi) Peraturan Allah yang lain pada diri, dimensi dan alam.

a) Sunnah al-Tadarruj

Maksud Sunnah al-tadarruj ialah beransur-ansur. Mengikut Muhammad al-Ghazali sunnah beransur-ansur adalah peraturan al-Qur’an yang mempunyai ciri-ciri yang wajib diketahui dalam menyampaikan dakwah dan membina tamadun umat.

Beliau menyarankan supaya dikemukakan Islam secara beransur-ansur dalam perlaksanaan. Ini disebabkan mad‘u itu berlainan antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Walaupun begitu, beliau meletakkan syarat bahawa tadarruj itu hendaklah dengan niat untuk sampai kepada Islam keseluruhannya dan dengan cara yang diakui oleh syariat. Menurutnya, dalam bidang akidah tidak ada tadarruj.

b) Sunnah al-Ajal

Sunnah al-Ajal ini membawa erti bahawa setiap sesuatu ada tempoh masa yang tertentu. Tidak mungkin sesuatu perkara itu dipercepatkan atau disingkatkan sebelum tiba masanya. Muhammad al-Ghazali menerangkan supaya pendakwah tidak tergopah-gapah untuk mendapat hasil tanpa membuat persiapan dan penyediaan, seolah-olah mereka berurusan dengan sunnah luar biasa.

c) Sunnah al-Tadawul al-Hadari

Sunnah al-Tadawul al-Hadari membawa makna perpindahan atau peredaran tamadun yang merupakan hukum alam. Beliau menerangkan sebab kejatuhan dan kejayaan sesuatu tamadun. Kebangkitan tamadun itu mempunyai hukum dan peraturan. Sekiranya umat Islam memenuhi syarat-syaratnya, pasti umat Islam berjaya. Kejatuhan tamadun kebanyakkannya berpunca dari kerosakan dari dalam di samping anasir-anasir luar.

d) Sunnah al-Mudafa‘ah

Sunnah al-Mudafa‘ah ialah pertembungan di antara kekuasaan orang zalim yang saling bertarung dan di celah-celah itu muncul pula orang yang lemah mengambil kesempatan untuk membina tamadun. Pertembungan antara dua pihak yang bermusuhan dapat memberi peluang dan ruang untuk kaum muslimin melakukan gerakan yang berhikmah dalam membina semula tamadun. Perkara ini dinamakan sunnah Mudafa‘ah.


e) Sunnah Taskhir

Sunnah Taskhir ialah menundukkan dan menguasai alam. Manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini mestilah menundukkan setiap perkara untuk kepentingan mereka dan sekaligus menguasainya. Ia juga bererti bahawa segala kejadian alam ini adalah untuk manfaat manusia seluruhnya supaya mereka menggunakan dengan sebaik-baiknya. Muhammad al-Ghazali membawa hujah dari al-Qur’an yang menyebutkan bahawa keimanan dan ketaqwaan amat penting dalam berurusan dengan sunnah al- Taskhir ini. Iman dan ketaqwaan sebagai pintu ke arah kemakmuran, manakala kemungkaran jalan ke arah kerosakan terhadap undang-undang taskhir. Beliau membawa bukti dengan firman Allah yang bermaksud :

“ Sekiranya penduduk kota-kota beriman dan bertaqwa, pastilah kami melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.
(al-‘Araf 96)

Ayat ini mengaitkan keimanan dan ketaqwaan dengan penyingkapan sunnah Taskhir dan penambahan rezeki.

Muhammad al-Ghazali telah mengemukakan sunnatullah yang termaktub dalam al-Qur’an untuk manusia memahami, merenung dan melaksanakannya dalam kehidupan mereka. Kefahaman tentang hukum-hukum dan sunnah alam memberi satu jalinan dan kerangka untuk umat Islam bergerak dalam menghadapi pelbagai tentangan dari barat dan timur. Sunnatullah itu tetap akan berlaku kepada manusia sepanjang zaman. Oleh itu, penyingkapan rahsia sunnatullah ini membolehkan dunia ini maju, beroleh kemajuan dan kejayaan. Kecuaian umat Islam terhadap sunnatullah tersebut menyebabkan kemunduran, kejatuhan dan ditundukkan. Oleh demikian, perkara yang disebut oleh Muhammad al-Ghazali amat penting diberi perhatian oleh umat Islam kini dalam membina tamadun Islam yang cemerlang. Firman Allah yang bermaksud :

“ Dan sekali-kali kamu tidak mendapat perubahan pada sunnah Allah itu.” ( al-Fatir 43)



v) Peranan Akal dan Penyeruan Kepada Kemajuan Umat

Muhammad al-Ghazali mengkritik golongan yang menyeru ke arah jumud, mengurung akal dan memenjarakannya serta membataskan kepada fahaman-fahaman silam. Perkara ini menjadi benteng penghalang untuk umat Islam berinteraksi dengan al-Qur’an secara betul. Beliau menyebutkan bahawa Islam membebaskan akal dan tidak pernah menyekatnya, malah Islam mengaktifkan akal dan tidak membekukan fungsinya. Al-Qur’an menggesa kita supaya membaca ‘kitab alam’ dan memikirkan rahsia-rahsia dan hukum-hukumnya.

Antara sebab kemunduran umat ialah ceteknya kefahaman mengenai Islam, banyaknya perkara-perkara khurafat, kegagalan berinteraksi dengan alam secara betul, dan kerosakan sistem politik yang tidak berteraskan keadilan sosial. Oleh itu, Muhammad al-Ghazali sentiasa menyeru umat Islam supaya gigih dalam segala bidang untuk kemajuan ummah keseluruhannya. Kemajuan ini akan tercapai apabila kita berinteraksi dengan ajaran agama Islam secara betul. Beliau memberi contoh kapal-kapal di lautan yang dimiliki oleh orang bukan Islam sedangkan ayat al-Qur’an menyebutkan Allahlah yang menundukkan lautan untuk kamu mengambil manfaatnya.

Beliau menyebut syarat untuk umat Islam maju ialah kembali memperbaiki urusan dengan al-Qur’an. Beliau juga menjelaskan antara faktor-faktor kemunduran umat ialah :

a. Kerosakan jiwa beragama kerana mengikut ajaran-ajaran tasawwuf dan tersebarnya pendapat-pendapat mereka yang berupa anti kehidupan.

b. Kemerosotan nilai kemanusiaan bagi individu-individu sepanjang pemerintahan politik diktator yang begitu lama.

c. Kemalapan tenaga akliah atau mental hingga banyak perkara waham dan khurafat menguasai kehidupan orang awam.

d. Pengkhianatan terang-terangan terhadap kebanyakan nas dan prinsip-prinsip Islam.

Dalam buku Kayfa Nata‘amal Ma‘a al-Qur’an, beliau menjelaskan sebab kemunduran umat Islam. Antaranya :

i) Berpunca dari tabiat orang Arab yang cenderung kepada teknik bercakap atau keindahan kata-kata.

ii) Terlalu banyak riwayat melebihi apa yang diperlukan. Umat Islam sibuk dengan ‘akal riyawat’ daripada ‘akal pembahas atau akal penyelidik’. Masalah yang menyekat pencetusan pemikiran ilmiah ialah riwayat-riwayat yang amat lemah.

iii) Kerosakan pemerintah menjadi punca berlakunya kekacauan dalam masyakarat dan menjadi penyebab utama kejatuhan tamadun Islam.

Muhammad al-Ghazali telah mengemukakan satu gagasan untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam. Oleh itu, beliau menggesa umat Islam mempunyai pemikiran yang terbuka dan sederhana (al-fikr al-wasatiy). Adalah menjadi cita-citanya agar umat Islam mempunyai kesedaran yang tinggi bagi membentuk peradaban generasi mukmin yang baru dan berhak untuk diberi gelaran jil al-Nasr.
Sumber :

You Might Also Like

0 comments

Kalam Murabbi

Ilmu, kemahiran dan segala pemberian yang datang dari ALLAH tidak hadir secara percuma, Ia datang dengan tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh ALLAH itu menuntut kepada kita untuk diamalkan.

Almarhum Tuan Guru Dato` Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz b Haji Nik Mat

Archives

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe