Hadis Nabi

  • Ulama Pewaris Nabi

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

    “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” (Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِباَدِ، وَلَكِنْ بِقَبْضِ الْعُلَماَءِ. حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عاَلِماً اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوْساً جُهَّالاً فَسُأِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

    “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.” (HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)

Pesan Umar Abdul Aziz

"Jika engkau bisa, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak bisa menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Biografi Abu Al-Hasan Al-Mawardi

19:15

Namanya ialah Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri, al-Syafie.

 
1 Para ahli sejarah dan tabaqat mengelarkannya dengan gelaran al-Mawardi, Qadi al-Qudat, al-Basri dan al-Syafie.
 
2 Al-Mawardi dinisbahkan kepada air mawar. (ma’ul wardi) kerana bapa dan datuknya adalah penjual air mawar.
 
3 Qadi Qudat disebabkan beliau seorang ketua kadi alim dalam bidang feqah. Gelaran ini diterima pada tahun 429 hijrah.
 
4 Gelaran al-Basri ialah kerana beliau lahir di Basrah. Sementara nama penggantinya (nama kinayah) ialah Abu Hassan.
 
Kelahiran.

Imam al-Mawardi dilahirkan di Basrah pada tahun 364 hijrah bersamaan pada tahun 974 masehi. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang sememangnya cinta kepada ilmu pengetahuan. Keluarga beliau sentiasa mengambil berat mengenai pendidikan dan pengajiannya. Sejak kecil lagi beliau diajar al-Quran, al-Hadis, Feqah, Usul dan lain-lain dari ilmu Syariat. Di peringkat awalnya, ia mendapat bimbingan daripada Abu Qasim al-Syaimiri, seorang ulama Basrah yang terkenal ketika itu dalam bidang feqah.1 Beliau mendengar ilmu hadis daripada beberapa ulama terkenal seperti Hasan bin Ali al-Jayli, Muhamad bin Ma’ali al-Azdi, Muhamad bin ‘Adi al-Munqari.2 Al-Mawardi mengambil ilmu kesusasteraan bahasa Arab dari Syeikh Abu Muhamad al-Baqi di samping berguru dengan Syeikh Abu Hamid Isfarayni.

Sejarah telah menunjukkan bahawa al-Mawardi pernah dilantik memegang jawatan kadi di beberapa buah negeri seperti di Kurat, di negeri Naisaburi sehingga beliau digelar Qadi al-Qudha. Namun demikian sesetengah ulamak seperti Abu Taib al-Tabari dan Syaimiri tidak bersetuju dengan gelaran ini. Walau bagaimanapun gelaran ini terus dikekalkan oleh sebahagian ulama yang lain pada masa itu. Buktinya gelaran itu masih lagi dikaitkan dengan namanya sehinggalah beliau wafat dan gelaran itu masih kekal sehingga ke hari ini.3

Al-Mawardi mempunyai peranan yang penting dalam pemerintahan kerajaan pada masa itu. Beliau sentiasa berkecimpung dalam politik pemerintahan dengan menjadi utusan raja untuk mengambil bai’ah dari rakyat. Ini berlaku ketika kematian al-Qadirul-Allah pada tahun 422 hijrah.

Maka anaknya al-Qa’imul Allah telah mengantikan beliau dengan memegang jawatan khalifah, lalu ia mengutuskan al-Mawardi ke negeri-negeri yang lain untuk mengambil bai’ah dari rakyat. Sepanjang beliau memegang jawatan sebagai kadi, beliau dapat mengetahui keadaan seharian masyarakat awam dan berinteraksi dengan mereka dengan lebih dekat lagi. Beliau juga dapat menyelami dan memutuskan perkara-perkara adat kebiasaan untuk disesuaikan dengan panduan syarak. Daripada jawatan kadi, beliau telah dinaikkan pangkat dan taraf ke peringkat yang lebih tinggi dalam tugas pentadbiran dan pemerintahan negara.

Di sinilah beliau dapat mendekati pembesar-pembesar dan pemimpin negara. Mereka menjadikan al-Mawardi sebagai tempat rujukan ketika menghadapi masalah. Khalifah al-Qa’imul Allah pernah mengutuskan al-Mawardi pada tahun 428 hijrah bagi menjadi orang tengah antara Jalalud-daulah dengan Abi Kalijar. Imam al-Mawardi merupakan ketua utusan dari khalifah kepada Abi Kalijar. Melalui perundingan inilah berlaku perdamaian antara kedua-dua pihak pada tahun 429 hijrah. Dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, al-Mawardi sentiasa mendapat tumpuan dan kedudukan yang tinggi di kalangan pembesar-pembesar negara seperti perayaan perkahwinan Khalifah Amril Allah dengan Khadijah binti Ahki Sultan Ta’gharbalak pada tahun 448 hijrah.1 Ini disebabkan beliau terkenal dengan pelembut, warak dan jauh dari perkara-perkara keji.

Al-Mawardi seorang ulama yang terulung dan faqeh bermazhab Syafie. Beliau dianggap sebagai pemikir dan tokoh politik kenegaraan ynag paling menonjol semasa pemerintahan kerajaan Abbasiah. Beliau juga alim dalam bidang tafsir, usul fiqh dan ilmu kemasyarakatan. Subki1 menyifatkannya dalam Tabaqat Syafieyah al-Kubra sebagai seorang ulama yang telah mencapai tahap keilmuan yang tinggi, merupakan tokoh mazhab yang terkenal dan pakar dalam segala bidang ilmu.

Beliau mempunyai seorang saudara lelaki yang tinggal di Basrah. Kedua-dua mereka saling berutusan surat untuk bertanyakan tentang suasana dan hal masing-masing. Pada suatu hari, saudara beliau telah mengutus surat dari Basrah kepadanya yang tinggal di kota Baghdad. Di dalam surat itu, saudara beliau telah menulis sebuah syair :

Kenyamanan kota Baghdad yang merindukanku,
Pergi mengunjunginya biarpun kemampuanku terbantut,
Betapakah kesabaranku kini padanya apabila terhimpun,
Dua kenyamanan udara yang berpanjangan dan berlalu singkat.2


Beliau telah wafat pada 30 bulan Rabi’ul Awwal tahun 450 hijrah bersamaan 27 Mei 1058 masehi ketika berumur 86 tahun. Jenazah beliau telah disembahyangkan dengan diimamkan oleh al-Khatib al-Baghdadi. Para pembesar dan ulama turut hadir menyembahyangkan jenazahnya. Beliau telah dikebumikan di perkuburan Bab Harb di Baghdad. Kewafatannya ialah selepas 11 hari kewafatan Qadi Abu Taib.3

Guru-Gurunya :

Al-Mawardi telah menuntut ilmu dari ulama-ulama yang terkenal pada masa itu antaranya :

1. Qadi Abu Qasim Abdul Wahid bin Husein al-Syaimiri bermazhab Syafie. Beliau telah mengarang kitab seperti al-Idha fi Mazhab, Kitab Qias wa ‘ilal, Adab Mufti wa Mustafta dan lain-lain. Beliau menuntut ilmu dari Abu Hamid al-Mawarzi dan Abu Fayad. Beliau wafat pada tahun 386H.1

2. Muhammad bin Adi al-Munqari. Nisbah kepada bani Munqar bin Ubaid bin Muqa’is bin Amru bin Ka’ab.2

3. Hassan bin Ali bin Muhammad al-Jily. Al-Mawardi belajar dengannya ilmu Hadis.3

4. Muhammad bin al-Mu’ally al-Azdy. Al-Mawardi belajar dengannya ilmu bahasa Arab.4

5. Jaafar bin Muhammad al-Fadal bin Abdullah Abu Qasim al-Daqaq. Beliau juga dikenali sebagai Ibn Marastani al-Baghdadi. Wafat pada 387 hijrah. Al-Mawardi belajar dengannya ilmu Hadis.5

6. Syeikh Islam Abu Hamid, Ahmad bin Abu Tahir Muhammad bin Ahmad al-Isfarayni. Lahir pada tahun 344 hijrah. Seorang ulama Syafieyah yang terkemuka di Baghdad. Beliau menghabiskan umurnya hanya dengan ilmu di Kota Baghdad. Mempunyai ketegasan dan keberanian dalam mengatakan kebenaran. Beliau belajar feqah dengan Abu Hassan, Ibn Marzan, Abu Qassim Darki dan lain-lain ulama yang masyhur sehingga beliau menjadi ulama yang disegani.

Beliau mempunyai kitab Ta’lik syarah Mazni sebanyak 50 jilid dan juga kitab dalam usul Fiqh. Abu Hassan Qadrawin menyebutkan bahawa tidak pernah saya melihat seorang yang alim dalam mazhab Syafie yang lebih faqeh dari Abu Hamid. Beliau telah wafat pada tahun 406 hijrah.1

7. Abu Muhammad, Abdullah bin Muhammad al-Bukhary terkenal dengan al-Bafi al-Khawarijmi.2 Beliau merupakan murid kepada Abu Ali bin Abu Hurairah dan Abu Ishak al-Marwazi. Al-Zahibi menyebutkan bahawa Abu Muhammad merupakan seorang yang alim, terutama dalam bahasa Arab dan kesusasteraannya. Beliau telah wafat pada bulan Muharram tahun 398 hijrah dan disembahyangkan oleh al-Isfarayni.3

Murid-Murid Imam al-Mawardi.

1. Khatib al-Baghdadi.

Ahmad bin Ali bin Sabit bin Mahdi al-Hafiz Abu Bakar al-Khatib al-Baghdadi seorang ahli hadis. Dilahirkan pada Jamadil Akhir 392 hijrah. Beliau mendapat didikan dari Qadi Abu Taib al-Tabari, Abu Hassan al-Mahamali, Syeikh Abu Ishak Syirazi dan Abu Nasir bin Sobah. Beliau merupakan seorang yang banyak merantau bagi mencari guru-guru dalam bidang hadis. Beliau telah mengarang 60 buah kitab. Antara yang terkenal iaitu Tarikh al-Baghdad. Ibn Makula menyebutkan bahawa al-Baghdadi merupakan seorang ulama yang pernah saya lihat keilmuan, hafalan dan kegigihannya yang tinggi. Kekuatan mengingatkan hadis Rasulullah, mengetahui ‘illah hadis dan kesahihannya. Tidak ada di Baghdad ini selepas al-Darqatini yang sama sepertinya. Antara kitab-kitabnya ialah : Tarikh al-Baghdad sebanyak 14 jilid, Kitab al-Kifayah, Al-Jamie, Sharaf Ashab al-Hadis dan Tathfil. Syeikh Abu Ishak Syirazi menyebutkan bahawa Abu Bakar al-Khatib seperti al-Darqatini dalam mengetahui hadis dan hafalannnya. Beliau telah wafat pada bulan Zulhijjah tahun 436 hijrah dan dimakamkam di sebelah Bashar al-Hafi. Ibn Khallikan1 menyebutkan bahawa saya mendengar bahawa Syeikh Abu Ishak antara orang yang membawa jenazahnya kerana beliau telah meninggalkan banyak kebaikan terutama dalam kitab hadis yang dikarangnya.2

2. Abdul Malik bin Ibrahim bin Ahmad Abu Fadal al-Hamazi al-Faradi terkenal dengan al-Maqdisi. Beliau merupakan ahli Hamazan dan menetap di Baghdad sehingga wafat. Beliau telah mendengar ilmu dari Abu Nasir bin Hubairah, Abu Fadl bin Abdon al-Faqiah dan Abu Muhammad Abdullah bin Jaafar al-Khabaj, al-Mawardi dan lain-lain. Beliau telah menghafal kitab Mujmal al-Lughah karangan Ibn Faris dan Gharibu l-Hadis karangan Ibn Ubaid. Beliau merupakan seorang yang zuhud, ahli ibadat dan warak. Beliau telah wafat pada bulan Ramadhan tahun 489 hijrah ketika berumur hampir 80 tahun.1

3. Muhammad bin Ahmad bin Abdul Baqi bin Hassan bin Muhammad bin Tauqi, Abu Fada’il, al-Rabi’iyy, al-Mawsili. Menuntut ilmu dengan al-Mawardi dan Abu Ishak Syirazi. Beliau mendengar ilmu hadis dari Abu Ishak Ibrahim bin Umar al-Barmaki, Qadi Abu Taib al-Tabari, Abu Qassim al-Tanuhi, Abu Talib bin ‘Ailan, Hassan bin Ali Jauhari dan lain-lain. Beliau telah wafat pada bulan safar tahun 494 hijrah dan dikuburkan di perkuburan Sunizi.2

4. Ali bin Saad bin Abdul Rahman bin Muhriz bin Abu Uthman dikenali Abu Hassan al-Abdari. Beliau telah mengarang kitab berjudul Mukhtasar al-kifayah yang menceritakan mengenai perbezaan-perbezaan pendapat antara para ulama. Beliau berketurunan dari bani Abdul Dar, berasal dari Mayurqah, Andalus. Beliau merupakan seorang yang alim dalam fatwa dan mengetahui perbezaan pendapat antara ulama-ulama. Beliau mengambil ilmu dari Abu Hazim al-Zahiri. Kemudian selepas itu, beliau telah berhijrah ke timur, mengerjakan haji dan memasuki kota Baghdad. Beliau telah meninggalkan mazhab Ibn Hazim dan menuntut ilmu dalam mazhab Syafie dari Abu Ishak Syirazi dan Abu Bakar Syasi. Beliau belajar dari Qadi Abu Taib Tabari, al-Mawardi, Abu Hassan bin Ali Jauhari dan lain-lain. Diriwayatkan darinya oleh Abu Qassim bin Samarqandi, Abu Fadl Muhammad bin Ataf, Saad al-Khair bin Muhammah al-Ansari dan lain-lain. Beliau telah meninggal dunia pada hari Sabtu bulan Jamadil Akhir tahun 493 hijrah.1

5. Mahdi bin Ali al-Isfarayni al-Qadi Abu Abdullah.

Beliau mempunyai kitab ringkasan dalam bidang feqah yang berjudul al-Isti’na’. Beliau menuntut ilmu di Baghdad pada tahun 428 hijrah dari Imam al-Mawardi, Khatib al-Baghdadi dan lain-lain.2

6. Ibn Khairun

Imam al-Alim al-Hafiz al-Musnadu l-hujjah, Abu Fadli Ahmad bin Hassan bin Ahmad bin Khairun al-Baghdad al-Muqarri Ibn al-Baqalani. Dilahirkan pada tahun 406 hijrah. Mengambil ijazah daripadanya Abu Hassan Muhammad bin Ahmad bin Salat al-Ahwazi, Abu Husain bin Mutayyim, Muhammad bin Ahmad bin Mahamili dan lain-lain. Beliau mendengar ilmu dari Abu Ali bin Sazan, Abu Bakar Barkani, Ahmad bin Mahamili, Abddul Malik bin Misran dan al-Mawardi. Beliau adalah seorang yang warak, alim dan banyak meriwayatkan hadis. Beliau wafat pada bulan Rejab tahun 488 hijrah ketika berumur 84 tahun satu bulan.3

7. Abdul Rahman al-Khasayri.

Abdul Rahman bin Abdul Karim bin Hawazan Abu Mansur al-Khasayri dilahirkan pada bulan safar 420 hijrah. Beliau mempunyai akhlak yang mulia, warak, pelembut, sederhana dalam berpakaian, makan dan minum, menghabiskan umurnya dengan beribadat dan berkhalwat. Beliau belajar ilmu dengan bapanya, dari Abu Hafas Umar bin Abdullah bin Masrur, Abu Said Zahir bin Muhammad bin Ibrahim al-Nuqani, Abu Abdullah al-Syirazi, Muhammad bin Ibrahim bin Muhammad bin Yahya al-Mazki dan lain-lain. Beliau pergi ke Baghdad bersama bapanya dan menuntut ilmu dari Qadi Abu Taib, al-Mawardi dan Abu Bakar Muhammad bin Abdul Malik bin Bisran. Beliau wafat pada tahun 482 hijrah.1

8. Abdul Wahid bin Abdul Karim bin Hawazin al-Ustaz Abu Said ibn al-Ustaz Abu Qassim al-Khusayri di gelar sebagai Rukunu l-Islam.

Beliau dilahirkan pada tahun 418 hijrah sebelum kelahiran Imam Haramain setahun. Kehidupannya penuh dengan menuntut ilmu dan beribadat. Beliau sering membaca al-Quran. Menuntut ilmu hadis dari bapanya, Abu Hassan Ali bin Muhammad al-Tirazi, Abu Saad Abdul Rahman bin Hamadan Nasrawi, Abu Hassan Muhammad bin Ahmad bin Jaafar al-Muzakiki, Abu Abdullah Muhammad bin Bakuwiyyah al-Sirazi, Qadi Abu Taib al-Tabari dan Qadi Abu Hassan al-Mawardi.2

9. Abdul Ghani bin Nazil bin Yahya bin Hasan bin Yahya bin Shahi al-Alwahi Abu Muhamad al-Misri berasal dari negeri Mesir, merantau ke kota Baghdad untuk menuntut ilmu dari ulama di sana seperti Qadi Abi Taib al-Tabari, al-Mawardi, Abi Ishak Barmaki, Abi Muhamad Jauhari dan lain-lain. Ibnu Najar menyebutkan bahawa beliau wafat pada 13hb Muharram 486 Hijrah dan disembahyangkan oleh Imam Abu Bakar al-Shahi. Subki telah menyebutkan bahawa : menurut tarikh Syeikh kami al-Zahibi, beliau telah wafat pada 483 Hijrah, ini berbeza dengan riwayat oleh Ibnu Najar.1

10. Ahmad bin Ali bin Badran, Abu Bakar Hulwani. Beliau dilahirkan pada tahun 420 hijrah dan belajar hadis dengan Qadi Abu Taib al-Tabari, al-Mawardi, al-Jawhari dan lain-lain. Antara kitabnya ialah kitab Lata’ifu l-Ma’arif. Beliau wafat pada Jamadil Awwal tahun 507 hijrah dan dikebumikan di Bab al-Harb.2

11. Abi Narsi

Syeikh Islam, Imam al-Hafiz al-Mufidu musnid, Abu Gana’im Muhamad bin Ali bin Maimum bin Muhamad al-Nursi, al-Kufi. Dilahirkan pada 424 Hijrah. Seorang yang siqah, warak dan banyak sembahyang tahajjud pada waktu malam. Beliau menuntut ilmu dari Muhamad bin Ali bin Abd Rahman Alawi, Abi Taib al-Tabari, al-Mawardi dan lain-lain. Beliau meninggal dunia pada 16hb Sya’ban tahun 510 hijrah dan dimakamkan di Kufah. 3

12. Ibn Kadis

Abu Izzu Ahmad bin Ubaidillah bin Muhammad bin Ahmad bin Hamadan bin Umar bin Ibrahim bin Isa, anak sahabat Nabi s.a.w bernama Uthbah bin Furqad Sulaimi al-Ukbari, dikenali sebagai Ibn Kadis. Beliau dilahirkan pada bulan Safar tahun 432 hijrah. Beliau menuntut ilmu dengan Abu Taib al-Tabari, al-Mawardi, al-Jauhari, Abu Ali Muhammad bin Husain Jaziri dan Abu Husain bin Narsi. Beliau wafat pada tahun 526 hijrah.1

Sahabat-sahabatnya.

Zaman Imam al-Mawardi adalah zaman perkembangan ilmu dalam berbagai-bagai bidang, berkembangnya tempat pengajian ilmu di dunia Islam terutama di Baghdad. Pada ketika itu Baghdad menjadi pusat penyebaran ilmu. Antara ulama-ulama yang hidup sezaman dengan al-Mawardi ialah :

1. Abu Taib al-Tabari

Tahir bin Abdullah bin Tahir bin Umar al-Qadi al-Alamah Abu Taib al-Tabari. Beliau berasal dari Amal, Tabarsatan dan dilahirkan pada tahun 348 hijrah di sana. Beliau menuntut ilmu dengan Abu Ahmad al-Ghatarifi, Abu Hassan al-Daraqtini dan Ibn Arfah. Beliau telah menuntut ilmu dengan Abu Ali al-Zujaji di Amad dan Abu Qassim bin Kaj di Jurjan. Kemudian beliau menuntut di Naisaburi dan kembali semula ke Baghdad. Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan bahawa Abu Taib adalah seorang yang warak, mengetahui perkara usul dan furu’ serta mempunyai akhlak yang mulia.2 Antara karangannya ialah kitab yang berjudul al-Ta’alik dalam 10 jilid, al-Mujarad dan Syarah al-Furu’. Beliau telah wafat pada Rabi’ul Awwal tahun 450 hijrah ketika berumur 102 tahun.

2. Al-Iskaf

Abdul Jabar bin Ali bin Muhammad al-Ustaz Abu Qassim al-Isfarayni. Beliau dikenali sebagai al-Iskaf. Beliau adalah seorang guru yang baik, alim dalam ilmu feqah dan ilmu kalam, warak dan zuhud. Beliau wafat pada tahun 452 hijrah.1

3. Saymiri.

Al-Qadi al-Alamah Abu Abdullah Husain bin Ali bin Muhammad, al-Saymiri al-Nahafi. Beliau wafat pada bulan Syawal tahun 436 hijrah ketika berumur 81 tahun.2

4. Al-Darimi

Muhammad bin Abdul Wahid bin Muhammad bin Umar bin Maimun, al-Imam Abu Farraj al-Darini al-Baghdadi. Beliau belajar dari Abu Hussain al-Ardabily dan Syeikh Abu Hamid Al-Isfarayni. Beliau adalah seorang yang kuat ingatan, alim dalam feqah, penyair dan fasih dalam berbicara. Beliau dilahirkan pada tahun 358 hijrah dan wafat pada Zulkaedah tahun 449 hijrah di Damsyik.3

5. Abu ‘Asim al-Abadi

Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Abdullah bin Abad, al-Qadi Abu ‘Asim al-Abadi al-Harawi. Beliau menuntut ilmu dengan Qadi Abu Mansur al-Azdi, Qadi Abu Umar al-Basatami, Abu Ishak al-Isfarayni dan Abu Tahir al-Ziyadi. Beliau adalah seorang ulama yang mempunyai pandangan yang tajam. Beliau mengarang kitab Mabsud, kitab al-Hadi dan lain-lain lagi. Mengambil ilmu darinya oleh Abu Saad al-Harawi dan anaknya Abu Hassan al-Abadi.1

6. Al-Kazaruni

Muhammad bin Banan bin Muhammad al-Kazaruni. Al-Zahabi menyebutkan bahawa al-Kazaruni menuntut ilmu dengan al-Muhamaly. Beliau mengarang kitab dalam bidang feqah yang berjudul al-Ibanah. Beliau wafat pada tahun 455 hijrah.2

7. Al-Fannaki

Ahmad bin Husain Abu Hussain, al-Razi al-Fannaki. Beliau dilahirkan di tempat bernama Rayyi. Beliau menuntut ilmu dengan Abu Hamid al-Isfarayni, Abu Abdullah al-Hulaymi dan Abu Tahir al-Ziyadi. Beliau wafat pada tahun 448 hijrah ketika berumur lebih 90 tahun.3

8. Abu Abdullah al-Wanni.

Hussain bin Muhammad bin Abdul Wahid, Abu Abdullah al-Wanni. Beliau merupakan seorang yang pakar dalam bidang fara’id. Beliau wafat pada akhir 450 hijrah.4


Pujian-Pujian Ulama kepada Imam al-Mawardi

Tidak syak lagi bahawa Imam al-Mawardi merupakan tokoh ulama dan pemikir politik dalam dunia ilmu Islam. Buku-bukunya merupakan rujukan kepada pengkaji ilmu sejak dahulu sehingga sekarang bukan sahaja di timur tetapi juga di barat. Kitab al-Hawi al-Kabir iaitu sebanyak 22 jilid adalah kitab yang diketahui paling banyak membicarakan ilmu feqah dalam mazhab Syafie setakat ini selepas kitab Majmuk yang mempunyai 24 jilid.

Al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan dalam Tarikh Baghdad bahawa Imam al-Mawardi seorang yang mempunyai siqah di antara ulama dari mazhab Syafie.1 Ibn Jawzi menyebutkan bahawa al-Mawardi seorang yang soleh. Yakut dalam Mu’ajam Adaba’ menyebutkan bahawa al-Mawardi seorang yang alim yang terkemuka bermazhab Syafie.2
 
Sumber : Minda Madani

You Might Also Like

0 comments

Kalam Murabbi

Ilmu, kemahiran dan segala pemberian yang datang dari ALLAH tidak hadir secara percuma, Ia datang dengan tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh ALLAH itu menuntut kepada kita untuk diamalkan.

Almarhum Tuan Guru Dato` Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz b Haji Nik Mat

Archives

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe